PENDIDIKAN MORAL

Sunday 13 November 2011

Konsep 3R - Kurangkan Penggunaan, Gunakan Semula Dan Kitar Semula


Kitar semula merupakan kaedah yang asas untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak tentang kepentingan mengekalkan keindahan alam sekitar. Kebanyakan kawasan dan pusat bandar di Malaysia mempunyai cara yang berbeza dalam menangani isu kitar semula. Kumpulkan jiran-jiran anda dan jadikanlah usaha kitar semula sebagai bukan aktiviti orang dewasa sahaja tetapi kanak-kanak juga. Malahan tanggung jawab kanak-kanak dalam hal ini harus dijadikan fokus utama.
Pusat mengumpul bahan-bahan yang boleh dikitar semula harus diwujudkan. Pusat sebegini harus memberi ganjaran kepada kanak-kanak. Contohnya, kupon diskaun membeli buku boleh diberi kepada mereka yang menyumbangkan bahan untuk dikitar semula. Pusat-pusat ini juga boleh memberi perkhidmatan tambahan yang membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mengunjungi pusat-pusat ini. Ini supaya mereka boleh memahami dan melihatkan sendiri proses kitar semula yang membolehkan bahan yang disumbangkan digunakan semula. Dengan itu, mereka akan mengenali dan lebih menghargai sumbangan.

Kempen mengumpul dan kitar semula surat khabar mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajar sekolah dan pihak sekolah. Kini sudah tiba masanya untuk mengalihkan semangat dan kreativiti kanak-kanak dalam menambahkan usaha dan niat mereka daripada sudut kualiti dan bukannya kuantiti.

Pelajar-pelajar dari sekolah anda boleh membuat penyelidikan tentang proses kitar semula. Kemudian, izinkan mereka untuk mengutarakan dan membincangkan idea-idea berkenaan isu kitar semula. Benarkan mereka mengatur strategi bagi mempromosikan kempen mereka. Sementara itu, pihak sekolah harus menyediakan ganjaran kepada mereka yang berjaya membuahkan idea kitar semula yang paling berkesan. Anda juga boleh menganjurkan pertandingan yang memberi hadiah kepada mereka yang berjaya menghasilkan program yang menpraktiskan kaedah guna semula bahan-bahan secara berkesan. Pertandingan hendaklah meliputi cadangan kaedah pengurangan penggunaan bahan-bahan yang memberi kesan yang musibah kepada alam sekitar.

Sebagai langkah menyedarkan masyarakat, galakan harus diberikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mencadangkan strategi ekonomi dan politik untuk mengekalkan alam sekitar. Satu ‘persidangan parlimen’ yang dianggotai oleh kanak-kanak boleh diadakan bagi membolehkan pelajar-pelajar membentangkan cadangan mereka. Orang dewasa dari komuniti boleh menjadi pihak pembangkang dan mendengar cadangan yang diutarakan. Persidangan sebegini harus ditonton oleh masyarakat umum supaya mereka juga dapat mempelajari kesilapan mereka dalam fenomena menjejaskan kualiti alam sekitar.

No comments:

Post a Comment